DISEMBER 2024

Fahami Tujuan Utama Pemilihan Kepimpinan Parti PBB


BINTULU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Jepak diminta terus  menjadi penyumbang utama kepada pembangunan daerah ini.

Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana Bintulu kini berkembang pesat menjadi pusat pelaburan utama hasil perjuangan pemimpin Parti PBB. 

"Kita mahu Parti PBB Jepak terus relevan dengan perubahan ini dan menjadi penyumbang utama kepada pembangunan daerah dan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa  merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB N.67 Jepak bagi sesi 2024-2027 di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, sehubungan itu PBB Jepak perlu menjadi landasan bagi lebih ramai warga Bintulu berjaya menjadi peniaga dan pengusaha manakala anak muda dari daerah itu dapat berkhidmat dalam sektor swasta dan awam.

Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan N.67 Jepak itu turut dihadiri Timbalan Bendahari merangkap Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat; Timbalan Ketua Pemuda merangkap Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni serta Ketua Cawangan PBB N67 Jepak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee.